Monday, September 28, 2009

Zikir Secara Kuat Atau Perlahan : Dua-Dua Ada Dalam Sunnah

Oleh : Tn.Hj.Saifullah

Zaman ini, timbul fenomena di mana ada di kalangan golongan “muda” yang cuba mengetengahkan isu-isu remeh yang telah lama dibahaskan oleh para ulama’ dan ianya sama sekali tidak membawa kepada pengingkaran. Ia merupakan masalah-masalah khilafiyah, yang menunjukkan kekayaan perbendaharaan intitusi ilmu fiqh Islam yang dicemburui oleh golongan bukan Islam.

Bertolak dari kegagalan sesetengah pihak, memahami fiqh ikhtilaf dalam masalah fiqh, menyebabkan mereka tampil ke hadapan, untuk, kononnya menentang bid’ah dan menegakkan sunnah, dengan masalah-masalah khilaf tersebut.

Golongan ulama’ Islam yang mempunyai latar-belakang yang kukuh dalam bidang fiqh Islami pada mulanya memberi teguran secara umum, mengenai golongan yang cuba memperbesarkan masalah khilaf ini, tanpa menjawab satu persatu persoalan yang ditimbulkan oleh golongan tersebut. Namun, kemelaratan sehingga menuduh seolah-olah golongan lain yang tidak sependapat dengan mereka dalam masalah-masalah khilaf tersebut, sebagai ahli bid’ah dan hanya mereka yang sependapat dengan mereka sahaja sebagai ahli sunnah, memaksa ramai para ulama’ Islam tampil menjawab persoalan-persoalan remeh-temeh mereka (yang mereka besar-besarkan sehingga jadi “pintu” saling salah-menyalahkan).

Antara para ulama’ yang menjawab kekeliruan golongan (separa ilmuan)tersebut adalah seperti Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (yang mana ulama’-ulama’ tersebut dikafirkan oleh sesetengah golongan salafi), Dr. Umar Abdullah Kamil, Sheikh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi Al-Maliki, Sheikh Abdullah Siddiq Al-Ghumari. Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Shiekh Dr. Ali Jum’ah (mufti Mesir hari ini) dan sebagainya.

Antara masalah-masalah kecil yang cuba diperbesarkan oleh golongan tersebut ialah masalah zikir selepas solat dengan suara yang kuat. Mereka tampil memberi tamparan yang hebat khususnya kepada institusi-institusi ibadah di Malaysia, seperti masjid-masjid dan surau-surau yang mengamalkan zikir dengan kuat setelah solat.

Pelbagai kritikan yang tidak ilmiah, dilemparkan atas nama keilmuan, terhadap tradisi masyarakat Melayu di Malaysia, yang sudah lama mengamalkan zikir setelah solat secara jihar (terang-terangan) dan jama’i (berjamaah). Mereka terlupa, atau sengaja mengelirukan diri sendiri, takkala berhadapan dengan dalil-dalil Sunnah yang membela amalan tersebut.
Bahkan, ada yang sampai sanggup mengatakan: Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Kita sekarang, para
Makmum sudah menjangkau usia lebih daripada 60 tahun takkanlah, tak tahu membaca doa dan berwirid?

Selain daripada ianya merupakan ayat berbentuk penghinaan dan sikap memperlekehkan amalan tersebut, ianya juga merupakan suatu kenyataan yang tidak berasas dan menjadi hujah ke atas dirinya sendiri.

Kalau kita lihat perkataan berikut, kita dapati bahawa, dia sendiri mengakui Nabi s.a.w. membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Kemudian, mengetengahkan contoh di mana, masyarakat kita, takkala mengamalkan amalan yang sama, dia berkata: “Kita sekarang, para makmum sudah menjangkau usia lebih daripada 60 tahun takkanlah, tak tahu membaca doa dan berwirid?”

Apa, zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada makmum yang sudah menjangkau usia 60 tahunkah, yang membuatkan Nabi s.a.w. turut berzikir dengan kuat untuk mengajar para sahabat Baginda s.a.w. pada ketika itu?

Kalau saudara yang berkata perkataan ini cuba bermaksud, semua orang yang sudah berumur 60 tahun ke atas pandai baca zikir dan wirid sendiri, ini merupakan perkataan yang tidak barasas.


Penolakan yang pertama terhadap perkataan beliau: Rasulullah s.a.w. juga ketika membaca zikir secara kuat untuk mengajar para sahabat Baginda s.a.w., ada di kalangan mereka yang sudah melebihi 60 tahun juga.

Penolakan yang kedua: Adakah saudara yang berkata sedemikian tidak pernah ke masjid, kerana di masjid, bukan semua makmumnya melebihi 60 tahun. Ada dari kalangan remaja (walaupun sedikit), ada dari kalangan dewasa yang tidak pernah belajar membaca, bahkan ada dari kalangan mereka melebihi 60 tahun, namun masa mudanya tidak pernah belajar tentang ilmu agama langsung. Ini realiti di Malaysia.

Jadi, amalan berzikir secara terang merupakan suatu amalan yang digalakkan, di samping ianya turut dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., ianya juga turut memberi kesan positif dalam mengajar masyarakat kita yang secara umumnya, jauh lebih jahil dari masyarakat zaman Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

Ada juga yang berkata: “Oleh yang demikian (berzikir dengan kuat) masjid dan surau sudah menjadi seperti majlis nasyid. Ada di antaranya menjadi bising sehingga mengganggu jemaah yang sedang sembahyang, sedang masbuk dan di antaranya baru hendak bersembahyang. Seolah-olah mereka tidak menghirau orang masbuk yang sedang bersolat atau orang baru datang untuk bersolat.”

Pertama, ianya seolah-olah menujukan persoalan tersebut kepada Rasulullah s.a.w. sendiri, kerana Baginda s.a.w. yang memulakan amalan berzikir secara kuat untuk mengajar para sahabat Baginda s.a.w..


Sememangnya adab perlu dijaga, takkala mendapati ada orang yang masih bersolat, dan sebagainya. Maka, pada ketika itu, perlulah diperlahankan sedikit, sehingga tidak mengganggu orang yang bersolat. Namun, pengingkaran terhadap amalan zikir dengan kuat setelah solat berjemaah semata-mata kerana takut mengganggu orang yang sedang solat, bererti pengingkaran terhadap Rasulullah s.a.w., sendiri, kerana Baginda s.a.w. lah yang mula-mula melakukan zikir secara kuat tersebut, berdasarkan hadis yang akan dibincangkan nanti. Adakah kita sanggup menuduh Rasulullah s.a.w. tidak merai orang-orang yang solat takkala Baginda s.a.w. sendiri membaca zikir dengan kuat untuk mengajarkan para sahabatnya zikir tersebut? Ini tidak benar. Konsep pengajaran zikir dalam hadis tersebut jelas, di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berzikir secara terang-terangan sehingga didengari olah orang yang di luar masjid, untuk mengajar para sahabat berzikir setelah solat.

Tidak boleh dinafikan kemungkinan bahawa, takkala Rasulullah s.a.w. berzikir secara kuat juga, ada yang masih solat kerana masbuq dan sebagainya. Namun, Rasulullah s.a.w. mengutamakan pengajaran zikir kepada para sahabat yang lain sambil merai adab-adab supaya tidak mengganggu mereka yang masih lagi sedang solat.

Apa yang kita perlu lakukan, bukanlah mengingkari amalan berzikir secara kuat setelah solat tersebut, tetapi memberitahu adab-adab yang perlu dijaga dalam merai mereka yang sedang solat. Itu sahaja. Siapalah kita untuk mengingkari amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tersebut?

Ada hadis yang menyebutkan tentang mengeraskan suara dengan zikir iaitu hadis riwayat Ibnu Abbas:

“Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu orang ramai selesai solat fardu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah. Berkata Ibnu Abbas lagi: “Aku mengetahuinya setelah mereka selesai solat fardu itu apabila aku mendengarnya.” Hadis riwayat Bokhari.

Ada orang mengulas: “Hadis ini ditujukan kepada keperluan mengajar zikir yakni nabi dan para sahabat pernah mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja, bukan terus-menerus secara tetap.”

Persoalan yang pertama, di manakah petunjuk dalam hadis tersebut, menunjukkan Rasulullah s.a.w. hanya mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja?

Jika kita lihat dari perkataan Ibn Abbas takkala mengulas bahawa, beliau r.a. mengetahui solat jemaah habis dengan mendengar bacaan zikir secara kuat tersebut, bahkan menunjukkan amalan tersebut kerap dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., sehingga ianya menjadi seolah-olah satu petunjuk bahawa, solat jemaah sudah selesai di masjid tersebut.

Kalaupun ada hadis yang menjelaskan amalan tersebut hanya sementara sahaja, kerana ianya merupakan suatu pengajaran terhadap para sahabat r.a., yang dapat kita ambil darinya ialah illah (sebab) Rasulullah s.a.w. mengeraskan suara dalam zikir setelah solat jemaah untuk untuk mengajar zikir setelah selesai solat kepada para sahabat.

Oleh itu, jika tiada illah (iaitu untuk mengajar) maka Rasulullah s.a.w. pun meniggalkan amalan tersebut. Persoalannya, illah tersebut akan tiada bila Baginda s.a.w. dapati para sahabatnya sudah boleh berzikir sendiri setelah solat, maka ditinggalkanlah amalan tersebut.

Tapi, fenomena di Malaysia, tidak sedemikian. Janganlah anda bercakap seolah-olah anda sebagai seorang sahabat yang hidup di zaman Baginda s.a.w. tersebut. Anda berada di abad ke 21 di mana, masyarakat Malaysia umumnya, amat jahil hatta dalam hukum agama sekalipun, inikan pula dalam bab zikir selepas solat.

Fiqh merupakan solusi realiti. Realiti masyarakat Malaysia masih memerlukan pengajaran yang berterusan khususnya dalam perkara-perkara agama. Oleh yang demikian, illah untuk membaca zikir secara kuat setelah solat berjemaah di Malaysia (iaitu mengajar masyarakat awam tentang zikir tersebut) masih lagi wujud, dengan wujudnya kejahilan dalam diri mereka.

Jadi, golongan yang lantang mengkritik amalan tersebut samada tidak faham dengan konsep sunnah Rasulullah s.a.w. itu sendiri, ataupun tidak faham dengan realiti masyarakat. Cukuplah dari memperdebatkan tentang perkara ini.

Kalaupun ada ulama’ yang menolak amalan tersebut seperti Ibn Qayyim (beliau orang Malaysiakah yang hidup dalam realiti kita hari ini) dan sebagainya, ada juga ulama’ muktabar yang membenarkan bacaan zikir secara kuat untuk tujuan mengajar masyarakat.

Bagi mereka yang mengamalkan, mereka ada dalil yang tersendiri. Bagi mereka yang tidak mengamalkan, mereka ada dalil yang tersendiri. Tetapi, bagi mereka yang sibuk berdebat, bergaduh, tuduh-menuduh, salah-menyalahkan satu sama lain dalam masalah ini, mereka sebenarnyalah yang membawa bid’ah, kerana menjadikan masalah khilafiyah yang tidak sepatutnya timbul pengingkaran sesama manusia di dalamnya, mereka canang merata-rata seolah-olah ianya suatu racun masyarakat Islam di Malaysia, padahal ramai dari kalangan umat Islam di Malaysia sendiri, yang sentiasa meninggalkan solat dan jahil dalam ilmu agama.

Apa gaduh-gaduh tentang perkara zikir setelah solat. Kalau anda mahu ikut serta dengan imam untuk baca zikir secara kuat, kalau anda sudah rasa “pandai” berzikir setelah solat sendiri, tidak ada sesiapa paksa anda zikir secara kuat, berjemaah. Ianya bukan suatu yang wajib. Orang-orang awam yang solat jemaah di masjid sendiri tidak pernah kata: “Zikir secara kuat lepas solat itu wajib”! Anda yang buruk sangka terhadap mereka, dengan mendakwa mereka anggap ianya wajib.

Semoga Allah s.w.t memelihara kita dari perpecahan dan dari sikap memecah-belahkan umat Islam…Amin…

Friday, September 25, 2009

Kelebihan Pembaca Al-Quran

Puasa Enam Di Bulan Syawal

Salah satu dari pintu-pintu kebaikan adalah melakukan puasa-puasa sunnah. Sebagaimana yang disabdakan Rasulullah S.A.W: “Maukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan?; Puasa adalah perisai, …” (Hadits hasan sahih, riwayat Tirmidzi). Puasa dalam hadits ini merupakan perisai bagi seorang muslim baik di dunia maupun di akhirat. Di dunia, puasa adalah perisai dari perbuatan-perbuatan maksiat, sedangkan di akhirat nanti adalah perisai dari api neraka. Dalam sebuah hadits Qudsi disebutkan, “Dan senantiasa hamba-Ku mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintainya.” (HR. Bukhori: 6502)

Puasa Seperti Setahun Penuh

Salah satu puasa yang dianjurkan/disunnahkan setelah berpuasa di bulan Ramadhan adalah puasa enam hari di bulan Syawal. Puasa ini mempunyai keutamaan yang sangat istimewa. Dari Abu Ayyub Al Anshori, Rasulullah bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setahun penuh.” (HR. Muslim no. 1164). Dari Tsauban, Rasulullah S.A.W bersabda “Barangsiapa berpuasa enam hari setelah hari raya Aidil Fitri, maka seperti berpuasa setahun penuh. Barangsiapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh lipatnya.” (HR. Ibnu Majah dan dishohihkan oleh Al Albani dalam Irwa’ul Gholil). Imam Nawawi rahimahullah mengatakan dalam Syarh Shohih Muslim 8/138, “Dalam hadits ini terdapat dalil yang jelas bagi madzhab Syafi’i, Ahmad, Dawud beserta ulama yang sependapat dengannya yaitu puasa enam hari di bulan Syawal adalah suatu hal yang dianjurkan.”

Dilakukan Setelah Aidil Fitri

Puasa Syawal dilakukan setelah Aidil Fitri, tidak boleh dilakukan di hari raya Aidil Fitri. Hal ini berdasarkan larangan Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan dari Umar bin Khathab, beliau berkata, “Ini adalah dua hari raya yang Rasulullah melarang berpuasa di hari tersebut: Hari raya Aidil Fitri setelah kalian berpuasa dan hari lainnya tatkala kalian makan daging korban kalian (Aidil Adha).” (Muttafaq ‘alaih)

Apakah Harus Berurutan ?

Imam Nawawi rahimahullah menjawab dalam Syarh Shohih Muslim 8/328: “Afdhalnya (lebih utama) adalah berpuasa enam hari berturut-turut langsung setelah Aidil Fitri. Namun jika ada orang yang berpuasa Syawal dengan tidak berturut-turut atau berpuasa di akhir-akhir bulan, maka dia masih mendapatkan keuatamaan puasa Syawal berdasarkan konteks hadits ini”. Inilah pendapat yang benar. Jadi, boleh berpuasa secara berturut-turut atau tidak, baik di awal, di tengah, maupun di akhir bulan Syawal. Sekalipun yang lebih utama adalah bersegera melakukannya berdasarkan dalil-dalil yang berisi tentang anjuran bersegera dalam beramal soleh. Sebagaimana Allah berfirman, “Maka berlumba-lumbalah dalam kebaikan.” (Al Maidah: 48). Dan juga dalam hadits tersebut terdapat lafadz ba’da fithri (setelah hari raya Aidil Fitri), yang menunjukkan selang waktu yang tidak lama.

Mendahulukan Puasa Qodho’

Apabila seseorang mempunyai tanggungan puasa (qodho’) sedangkan ia ingin berpuasa Syawal juga, manakah yang didahulukan? Pendapat yang benar adalah mendahulukan puasa qodho’. Sebab mendahulukan sesuatu yang wajib daripada sunnah itu lebih melepaskan diri dari beban kewajiban. Ibnu Rejab rahimahullah berkata dalam Lathiiful Ma’arif, “Barangsiapa yang mempunyai tanggungan puasa Ramadhan, hendaklah ia mendahulukan qodho’nya terlebih dahulu karena hal tersebut lebih melepaskan dirinya dari beban kewajiban dan hal itu (qodho’) lebih baik daripada puasa sunnah Syawal”. Pendapat ini juga disetujui oleh Syaikh Muhammad bin Soleh Al Utsaimin dalam Syarh Mumthi’. Pendapat ini sesuai dengan makna eksplisit hadits Abu Ayyub di atas.

Semoga kebahagiaan selalu mengiringi orang-orang yang menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.Amin

Tuesday, September 15, 2009

Al-qadr: Jangan sibuk dengan mencari ‘tanda’

KITA sekarang berada pada fasa terakhir Ramadan yang mana di dalamnya terkandung malam al-qadar. Malam paling istimewa di mana mereka yang beribadat pada malam ini akan diberi ganjaran pahala 1,000 bulan atau 84 tahun.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: Dan sesiapa yang bangun mendirikan lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (riwayat Bukhari)

Kelebihan Hari Raya

">

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.
Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur." Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan. Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud: "Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.
Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis. Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.
Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti pagi raya
1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.
2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.
3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.
4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.
5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.
6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.
Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.) - mks.

Monday, September 14, 2009

Ramadhan al-Mubarak

Ramadhan akan meninggalkan kita..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Muslimin dan Muslimat yang dimuliakan sekalian..siang berganti malam,malam berganti siang,sungguh cepat masa berlalu pergi,sedar atau tidak kita sekarang berada dipenghujung bulan Ramadhan al-Mubarak.mudah-mudahan kita semua memperolehi semua kelebihan dan janji Allah S.W.T dibulan yang mulia ini,semoga enam hari yang masih berbaki ini marilah sama-sama kita gandakan lagi ibadah kita dengan membaca al-Quran ,bangun diwaktu malam untuk bertahajjud,bertahmid dan beriktikaf di Masjid,semoga kita semua memperolehi segala ganjaran Ramadhan Amin..( Kedatangan Ramadhan disambut dengan penuh tangisan bagi orang-orang yang beriman kerana bergembira dengan kelebihan Ramadhan dan pemergian Ramadhan juga diiringi linangan air mata bagi orang-orang yang beriman kerana mengenangkan entah tahun-tahun yang akan datang masih ada ruang atau tidak untuk bertemu dengan bulan penuh Barakah ini )sungguh beruntung orang-orang yang beriman kerana Nabi S.A.W menyatakan bahawa : Permulaan Ramadhan adalah Rahmat,(10 hari pertama) iaitu sesiapa yang dapat menahan dirinya daripada makan dan minum disiang hari dan dapat melaksanakan segala Ibadah dengan ikhlas maka mereka akan diberikan Rahmat oleh Allah S.W.T dipertengahan Ramadhan Maghfirah,( 10 pertengahan )iaitu sesiapa yang dapat meneruskan ibadah puasa dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dan dapat menunaikan sebanyak mana ibadah sunat dengan ikhlas hati maka mereka akan mendapat keampunan Allah terhadap segala dosa yang telah dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja sejak akil baligh sehingga umurnya sekarang, manakala diakhir Ramadhan iaitu (10 hari terkahir) sesiapa yang dapat meneruskan ibadah puasa dengan sempurna dengan sabar dan ikhlas hati maka mereka akan dihindarkan Allah daripada Azab api Neraka...
Muslimin dan Muslimat sekalian...
Nabi S.A.W. menyatakan bahawa segala Ibadah sunat yang dilakukan dibulan Ramadhan maka ganjaran pahalanya akan dikali dengan 700 kali ganda begitulah sebaliknya setiap dosa yang dilakukan juga akan dikali dengan 700 kali ganda.manakala Pahala Ibadah Puasa Hanya Allah yang akan memberikan ganjaran tersebut kepada hamba-hambaNya yang beriman..iaitu pahala tanpa batasan dan had

Nabi S.A.W. juga menyatakan bahawa terdapat 3 golongan manusia dibulan Ramadhan ini : iaitu golongan pertama ( satu golongan manusia yang mengambil peluang untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala ibadah sunat dan wajib) golongan kedua ( iaitu satu golongan manusia yang mengambil peluang untuk mencari habuan dunia,mereka mengambil peluang untuk mengaut keuntungan dunia dengan berniaga sehingga mereka lupa untuk mencari keuntungan akhirat ) golongan ketiga ( satu golongan manusia yang tidak ada apa-apa kemahuan dan hala tuju,dapat pahala pun tak apa tak dapat pun tak apa,masyaAllah )

Saturday, September 12, 2009

Ramadhan al-Mubarak

Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T kerana pada saat dan ketika ini kita masih lagi dipinjamkan umur oleh Allah S.W.T..kita masih lagi diberi pelbagai nikmat dan anugerah olehNya.Oleh itu marilah sama-sama kita manfaatkan masa dan usia yang masih berbaki ini untuk mengabdikan diri kepadaNya.Mudah-mudahan Ramadhan pada kali ini lebih baik dari sebelumnya,marilah sama-sama kita mencari sebanyak mungkin pahala dan kelebihan Ramadhan,mudah-mudahan kita semua memperolehi rahmat Allah dipermulaan Ramadhan dan Maghfirah Allah dipertengahannya dan dihindarkan Allah daripada Api neraka diakhirnya Amin