Saturday, August 14, 2010

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan Al-Mubarak

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarak,semoga kita semua mendapat Barakah dariNya amin

Saturday, August 7, 2010

Kelebihan Bulan Sya'ban

KELEBIHAN BULAN SYAABAN
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, kita amat bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi dengan bulan Syaaban pada tahun ini iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat, di mana pada bulan ini, kita digalakkan untuk meningkatkan segala amal ibadat yang berkebajikan.
Bulan Syaaban adalah antara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan tersendiri, maka seharusnyalah kita sebagai kaum Muslimin menyambut dengan rasa syukur dan memuliakannya dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengajarkan dan menyarankan umatnya tentang amalan-amalan yang Baginda sering lakukan di bulan tersebut. Antaranya ialah memperbanyakkan puasa sunat, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari maksudnya:

"Dari Abi Salmah, dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Adalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Baginda akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat lebih banyak daripada puasa di bulan Syaaban".

Dalam kita memperkatakan mengenai kelebihan bulan Syaaban, terdapat satu malam di bulan tersebut yang dikenali dengan 'Nisfu Syaaban'. Adapun malam Nisfu Syaaban ini mempunyai keistimewaan dan merupakan salah satu malam yang paling mustajab (doa dimakbulkan), malam pengampunan dan merupakan malam yang penuh dengan rahmat, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah, maksudnya:

"Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Syaaban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu Wataala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani Kalib".

Di samping itu wahai kaum Muslimin, dalam keghairahan menghidupkan malam Nisfu Syaaban ini dengan berbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam melakukan perkara-perkara bidaah, seperti melakukan Sembahyang Sunat Nisfu Syaaban, kerana sembahyang ini sebenarnya tiada sabit dalam ajaran Islam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Subhanahu Wataala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit.

Sebahagian ahli hikmah berkata: "Sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk minta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan pada bulan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa".

Cara umat Islam sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah dengan membaca SurahYaasiin tiga kali selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan setiap kali lepas membaca Surah Yaa Siin, mereka membaca doa. Pada bacaan Surah Yaa Siin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal.

Di dalam kesibukan kita dengan urusan duniawi seperti urusan kerja, pejabat, sekolah, keluarga dan sebagainya, janganlah hendaknya kita leka dan lalai sehingga tidak langsung merebut keistimewaan di bulan Syaaban ini.

Persediaan Di Ambang Ramadhan
Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Sya‘ban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Juma‘at, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.
Bulan Sya‘ban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya
Sekarang kita berada di bulan Sya‘ban. Bulan Sya‘ban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.
Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya‘ban.
Dalam makna yang lain Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya‘ban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.


Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban
Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:
1. Memperbanyak puasa sunat.
Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Bertaubat dan beristiqhfar
3. Memperbanyak zikir dan berdoa
Begitu juga dengan perkara doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan cara merendahkan diri dan tawadhu‘ kepadaNya.
Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda:
Maksudnya: “Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban
Di Malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”
Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban
Nisfu Sya‘ban ialah hari ke lima belas daripada bulan Sya‘ban. Malam Nisfu Sya‘ban merupakan malam yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala
Adapun cara menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban sebagaimana yang dilakukan sekarang ini tidak berlaku pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi‘in dari penduduk Syam. para tabi‘in daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma‘dan dan Makhul, mereka beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Malam Nisfu Sya‘ban. Maka dengan perbuatan mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.
Para tabi‘in tersebut menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan dua cara:
1. Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
2. Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita sekarang ini menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan membaca Al-Qur'an seperti membaca surah Yasin, berzikir dan berdoa dengan berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh para tabi‘in itu.
Sesunguhnya bulan Sya‘ban itu adalah bulan di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih banyak berpuasa sunat dibandingkan pada bulan-bulan yang lain, iaitu sebagai persiapan dan persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Amalan Baginda itu sewajarnya dicontohi oleh sekalian umat Islam disamping bulan Sya‘ban itu sendiri mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti Malam Nisfu Sya‘ban.